Monday, May 5, 2014

Baktan Babi


Baktan Babi
(cubaan kedua mengarang cerpen, sebuah cerpen memorial yang juga sempena selsema babi)

“Hah! Balik tu abang Wael! Balik tu!” Nik heng bertempik pada Nik Wael. Anak-anak itu bertempiaran lari di celah-celah pohon ubi. Habis pohon-pohon ubi setela, ubi keling dan ubi badak langsung dilanggar mereka. Ibu mereka sudah tertiarap dibaham cok betul di atas batang tengkuk yang tak pasti betul mana batang tengkuknya itu. Debok! Debok! Anak yang seekor habis umurnya di tangan Nik Hassan. Dibelasah dengan belakang parang sampai senyap. Seekor lagi lolos di celah kangkangnya. Nik Hassan menyumpah panjang. “Balik ni! Balik ni! Mu kepung balik ni!” Nik Heng menurut perintah abangnya.

Anak yang masih tertinggal itu cuba melarikan diri tapi terpaksa membuat brek mengejut sampai terseret-seret langkahnya kerana Nik Heng sudah menunggu. Tahi berderai-derai. Anak itu terberak-berak ketakutan. Nik Heng mengejar anak itu yang berpatah balik tapi Nik Wael pula yang menunggu di sebelah sana. Ia membelok tapi akhirnya tumpas juga di tangan Nik Hasan yang memintas dari tepi. Debok! Debok! Nik Hassan tak berhenti memukul sedang mulut menyumpah-nyumpah lagi. “Padan-padanlah, nanti memercik darahnya susah pula,” kata Nik Wael. Ketiga-tiganya tercungap-cungap lapar udara. “Tak boleh jadi ni, kena lapor pada tok penghulu ni,” tegas Nik Heng. Abangnya yang tua cuma mengangguk,”Ialah.”

Matahari sudah mahu masuk ke kaki langit di jihat barat. Orang-orang Melayu ketika itu semua sudah masuk ke rumah. Tuan babi turun ke tanah, menghadap ke arah matahari naik dan mula melaung, “Uweeeiii! Uweeeeii! Uweeeeiii! Uweeeeiii!” Sekejap kemudian semak-samun mula bergoncang dan tidak semena-mena beberapa ekor babi muncul dari celah-celah hutan dan sesetengahnya entah dari celah mana datangnya. Ada yang besar, ada yang kecil, ada yang panjang, ada yang pendek, ada yang putih, ada yang hitam tapi yang banyaknya yang bertompok-tompok bertampung kurap. Babi kampung. Semua pun berebut-rebut tergopoh-gapah pulang mengadap tuannya langsung ke kandang. Dengan muncung masing-masing semuanya menyondol makan malam hari itu sedang tuan babi mula hairan. Ke mana pergi babi yang empat beranak itu? Sambil mengira babi-babinya untuk kepastian, dahinya berkerut.

Petang lepas asar, tok penghulu Haji Hasan, sepupunya Cikgu Umar dengan orang kanannya Raja Membunga pergi ke balik jatuh bersama-sama tiga adik-beradik itu memeriksa parit besar yang memisahkan kampung Melayu dan kampung Cina. Zaman hari itu, parit itu perlu untuk mengelak babi-babi daripada masuk ke kampung orang Melayu. Sebab babi, kalau sudah masuk ke kampung Melayu tak akan balik lagi. Dibelasah sampai mati, macam nasib empat beranak itu. Sebab babi memang suka menyondol ubi-ubi orang kampung.

Mereka berenam jalan menyusur parit sampai ke satu tempat yang ada sebatang pohon nyiur tumbang melintang parit. “Hmmm, barangkali babi tu meniti atas batang nyiur inilah,” kata Nik Wael. “Mesti sebab ribut kelmarin dulu ni,” tingkah Cikgu Umar pula. Di hujung sebelah hilir pula, tebing parit banyak yang runtuh dibawa air hujan yang lebat kelmarin dulu. Antara mereka ada yang pergi ke batang nyiur itu menggoncang-gongcangnya, naik meniti, menghenjut-henjut. Ada yang pergi ke tebing runtuh menghentak-hentakkan kaki menguji tebing mana yang masih kukuh. Kemudain masing-masing duduk mencangkung di tepi parit. Sesetengahnya muka menekur ke tanah, bercakap pasal ribut, pasal babi dan pasal ubi. Akhirnya Haji Hassan pun berkata, “Tak apalah, nanti aku panggil Mat Dakwah alihkan batang nyiur ni, lepas tu kita ajak orang kampung ramai-ramai gali balik parit belah sana tu.”

Tuan babi tak boleh duduk diam. Kehilangan babi yang empat ekor itu memang menjadi tamparan besar untuknya. Sebagaimana tekunnya orang Melayu menggembur tanah membuat batas, menyemai anak benih, sekali-sekala membaja dengan baja tahi lembu atau kambing, mencabut rumput-rumpai yang tidak mahu dan tidak perlu, setiap petang selepas asar datang menyiram dan menjaga kalau-kalau ada perosak kemudian bangga bila tanaman mereka merimbun hasil sabar dan penat lelah mereka begitulah juga rajinnya tuan babi mencari modal, membina bangsal babi, memberi makan dan minum petang dan siang, dilepaskan pagi dikurung malam, membiak baka, kalau yang luka diubatkan, kalau yang bunting dijaga, kemudian lega kalau babinya selamat menambah zuriat dan tambah bangga lagi kalau sihat walafiat pula anak-anak itu yang itu semua hasil titik peluhnya.

Semacam mana remuk hati orang-orang Melayu yang rosak ubi-ubi mereka disondol babi begitulah juga remuk hatinya yang mati babi-babinya dilanyak orang Melayu. Malah empat beranak pula. Rugi juga. Tapi zaman hari itu orang tidak ramai. Sekejap saja cerita sudah sampai ke telinga tuan babi, yang Nik Wan, Nik Hasan dan Nik Heng membawa tok penghulu menengokkan parit yang rosak. Dia pun yakin benar, pemergian empat beranak babinya itu mesti hasil kerja buat tiga beradik itu. Dia nekad, keadilan mesti ditegakkan.

Tuan babi sampai ke ketik dalam lewat petang hari Isnin. Langit sudah mula merah. Di situ ada tiga buah patung besar-besar. Ada yang berdiri, ada yang duduk bersila, ada yang baring mengiring. Tuan babi mengangkat sembah pada semuanya. Seorang tokca menyambutnya. Tokca itu membentangkan sebuah buku besar di depan mukanya. “Namanya siapa?” Tokca bertanyakan nama tuan babi. “Siapa yang nak dikenakan?” “Nik Wan, Nik Hassan dan Nik Heng”, jawab tuan babi tanpa ragu-ragu. Tokca mencatat semua maklumat itu di dalam buku lognya yang terlintang di antara mereka berdua. Akhir sekali tokca bertanya,” Apa sebab nak kenakan orang-orang ni?” Tuan babi tidak menjawab terus, teragak-agak, mencari jawapan yang sebenarnya tidaklah diambil berat oleh tokca itu pun. “Memecah-belahkan masyarakat.” Tapi itu pun dicatat juga. Tokca itu masuk ke dalam. Lama juga tuan babi menunggu barulah tokca itu keluar dengan botol kecil yang isinya dipanggil orang waktu itu debu tokca. Boleh jadi dibuat dari abu mayat orang mati berbunuh yang dijampi mantera.

Matahari baru lepas segalah. Orang-orang kampung lelaki dan perempuan sama-sama tengah rancak bekerja di padang. Rumah-rumah memang tinggal kosong. Anak-anak yang mampu sekolah ke sekolah, yang tidak mampu ikut sama orang tua mereka ke padang. Anak-anak yang tak mampu menolong pun dikendong sama. Rumah orang zaman hari itu, tambah-tambah kalau yang hidupnya sesak setakat bergantung pada ubi-ubi tanaman dan upah membanting di padang, dindingnya pun dari buluh anyaman saja. Pintu pun tak ada. Kalau ada kain guni buat pintu pun sudah kira bagus. Maka senanglah orang keluar masuk kalau ada niat jahat. Itulah juga peluang yang diguna tuan babi. Waktu orang sedang berpanas-panas di padang dia curi-curi masuk ke rumah tiga beradik itu. Ditaburnya debu tokca ke dalam periuk nasi.

Adik beradik yang tiga orang itu pula, bila balik kerja penat-penat lapar-lapar terus makan nasi tanpa bersoal jawab lagi. Selang sehari ketiga-tiganya sakit tak boleh bangun. Meracau-racau. Akhirnya sakitnya itu naik ke kepala. Langsung miring otaknya. Nik Heng yang katanya sedikit saja memakan nasi itu sempat berubat dengan Mat Husin Tok Bomoh. Baiklah dia. Nik Wael tak sempat berubat tapi tidaklah berat sangat. Dibuat pondok sebuah asing dari rumah dan dikurung di situ. Nik Hasan yang paling teruk. Boleh jadi dia yang banyak makan nasi. Nik Hasan Gila, begitulah lekat gelarnya. Orang kampung semuanya lari masuk ke rumah kalau nampak kelibatnya. Anak-anak bermain di tanah disorok, pintu jendela dikatup kejap, diam sepatah pun tak terkata. Tambah-tambah kalau dihayun-hayunkan kelewangnya. Maka begitulah, baktan babi manusia binasa.

Tammat - 18 Mei 2009, jam 3.00 petang
Ketika orang lain sibuk study

0 comments:

Post a Comment