Semakin sunyi sepi. Semua sudah blah ...
(Sebuah cerpen memorial sempena budak yang ramai sedang balik kampung)
Esok hari penting. Begitulah yang kau diberitahu bila bertanya kepada anak menantumu. Setelah kau hitung-hitung, kau yakin esoklah harinya dan kerana itu tidurmu tidak jendera. Kau balik-balikkan tubuh kecilmu sambil mengucap nama-nama tuhan. Bunyi Pak Muda Awang Tumpat mengetuk copong balaisah membuatkanmu cepat-cepat bangkit dari tidur. Tidak sabar menunggu hari siang. Anak menantumu masih bergelimpangan dalam tidur di samping cucu-cucu. Kau tidak pedulikan mereka. Terus turun ke dapur. Bilik air di luar. Kau capai batang penyapu dan kau jolok selak atas pintu yang tidak sampai dicapai tangan. Bunyi engkau menjolok-jolok selak pintu membuatkan anakmu terjaga dan dia bukakan pintu untukmu kemudian naik semula mengejutkan anak bininya.
Kau sarungkan kaki dengan selipar yang dibeli anakmu dari Pulau Pinang. Kain batik Daun Dewa yang turut dibelikan anakmu kau sentengkan sampai paras lutut dan dikepit di celah kaki. Kau peluk tubuh kurusmu kerana bayu fajar masih berpuput dingin. Langit pun masih berkabut. Lamun di celah-celahnya kau masih mampu melihat bintang-bintang. Kau merenung kosong tanpa mengetahui apa-apa pun tentangnya melainkan kecantikan bintang-bintang itu. Kau tersenyum sendirian dan menghentikan menungan di muka pintu. Dengan penuh hati-hati kau melangkah kohor di atas lantai bilik air yang lembab berlumut itu. Bimbang kalau-kalau tubuh tuamu jatuh tergelincir. Kau karal setimba air dari telaga dan dengan air sebanyak itu, kau langsaikan wudhuk.
Anak menantumu sudah keluar bekerja. Cucumu yang berdua itu juga pantas sekali menghilang. Pantang sekolah bercuti. Cucu yang laki-laki boleh jadi masuk ke hutan membidas burung. Cucu yang perempuan pula boleh jadi ke rumah kawan-kawan bermain selambut. Cucumu yang masih bayi sudah dihantar ke rumah emak saudaranya. Selepas menghabiskan nasi kerabu tanpa daun kayu khas untukmu sebagai sarapan, kau menghabiskan sisa-sisa umurmu seperti biasa. Sebesen kain yang sudah dibasuh kau angkatkan ke jemuran untuk disidai. Sambil-sambil itu kau terintai-intai ke hulu jalan tetapi tak ada bayangan. Hari masih pagi, mustahil akan sampai kau fikir. Kemudian kau ke dapur pula, mencuci segala pinggan mangkuk periuk belanga. Walaupun anak-anak yang lain asyik mengejekmu diperhambakan menantu, kau tidak ambil kisah semua itu kerana kau berasa tidak sedap hati kalau makan hasil anak tanpa menyumbang apa-apa. Tetapi, untuk hari penting hari ini, sinki dapur tidak boleh dibiarkan bersepah.
Hari itu, dapur mesti bersih licin. Maka segala nasi-nasi basi yang berbaki di dapur kau taburkan ke atas sekeping atap zink yang berkarat sebagaimana biasa. Kemudian dibawa ke belakang rumah di bawah perdu pohon-pohon pisang kelat jambi. Kau bentangkan zink itu di atas tanah dan tanpa dipanggil pun ayam-ayam peliharaanmu terus datang mematuk. Tiba-tiba dia datang. Ayam bapak jiran sebelah yang tidak diundang cuba-cuba untuk hampir. Kau lempar tempurung kelapa yang ada di situ dan tepat mengenai sasaran pula. Ayam bapak itu pun lari celebu ke dalam pagar tuannya. Hatimu berasa puas bercampur bangga. Puas kerana dapat membalas dendam kepada ayam bapak yang telah memerat betismu sampai biru tempoh hari dan bangga kerana walaupun sudah tua, tanganmu masih betul, kau masih mampu melontar dengan tepat.
Apabila kau terfikir tentang melontar, kau teringat ketika kau melontar di musim haji. Dua kali kau ke sana. Sekali kau dibawa pergi oleh anakmu yang sememangnya syeikh haji. Tetapi yang lebih kau ingat ialah kali pertama kau ke sana. Bersama gemulah lakimu naik kapal laut. Kau masih ingat kau selalu berpaut pada hujung belakang ihram lakimu setiap kali tawaf, sa’ie atau melontar, takut terpisah dan tersesat dan seperti mana-mana orang tua yang mengeluh mengenangkan zaman mudanya kau terfikir, kalaulah lakimu itu masih ada…
Ayam-ayam masih mematuk lahap. Ayam bapak jiran sebelah pun sudah tidak kelihatan. Kau ambil pula mayang kelapa yang sudah tua buat menyapu daun-daun pokok jambu air yang gugur di laman belakang rumahmu. Ketika terbongkok-bongkok menyapu itu pinggangmu terasa sedikit sakit. Ketika itu kau teringat tegahan anak menantumu yang melarangmu daripada melakukan kerja-kerja rumah. Mereka bimbang kalau-kalau kau jatuh sakit lagipun mereka tidak pernah meminta kau membuat semuanya. Tapi kau tidak kisah juga. Kalau kau duduk diam tidak bergerak, lagilah kau akan cepat sakit kau fikir. Kau matikan ingatan itu di situ dan teru mengutip semua daun ke dalam bekas dan kau taburkan dekat perdu pohon kelapa mawar. Petang nanti baru dibakar dengan sampah-sampah lainnya. Kau masuk pula ke bawah kolong. Mengutip segala sampah-sampah yang terjatuh dari celah papan. Bimbang takut-takut sampah yang banyak menjadi sarang ular pula. Sambil kau terkedek-kedek jalan itik dari belakang sampai ke depan, sesekali kau intai ke pagar depan. Mana tahu kalau ada kereta yang masuk. Tiada. Sedikit hampa.
Kau berasa bosan keseorangan lalu pergi menuju ke rumah anak perempuanmu di belakang. Dengan harapan mendapat teh barang secawan dua kemudian boleh cicah bahulu buatan Piah Kar yang ditukar beli dengan telur-telur itik atau biskut tawar pun jadilah. Rumah itu memang meriah. Pagi-pagi begitu ramai saja suri-suri rumah sekeliling bertandang sambil menunggu peraih ikan datang atau menunggu menantumu pulang dari sungai membawa udang dan teh sememangnya diangkat keluar. Kau ikut duduk bersama mereka tetapi tidak pernah ikut bersembang melainkan cuma mengangguk mengeyakan. Jiran-jiran suka mengusikmu terutama pada hari-hari begini,”Mak Piah sukalah tu, nampaknya lepas ni seminggulah tak datang makan air teh di sini.” Kau tersengih mempamerkan dua puntung gigimu yang masih tertinggal.
Menantumu yang ke sungai pulang. Kau tiba-tiba mahu cepat pulang. Anakmu menghalang memintamu menunggu makan tengah hari dahulu. Tapi kau tetap pulang membuatkan anakmu dan suri-suri rumah lainya tertanya-tanya. Kau masuk ke bilikmu dan kau ambil wang yang tersimpan di bawah tikar, kemudian kau keluar ke wakaf di seberang jalan. Kemudian dia datang. Nawi si peraih ikan itu memang akan ke rumah anakmu di belakang tetapi untuk hari itu, kau takkan biarkan orang-orang lain mendapat ikan-ikan yang molek terlebih dahulu. Kau mesti mendapatkannya lebih awal daripada mereka. Setelah membeli sekilo dua ikan kembung dan ikan selayang yang gemuk-gemuk dan cantik-cantik, kau pulang. Kau simpan ikan-ikan ke dalam peti dan pergi semula ke rumah anakmu di belakang. Tengah hari itu kau makan ikan rebus goreng dengan kuah singgang.
Sejak zaman muda, kau memang tidak suka dan tidak pernah melewatkan sembahyang. Usai makan kau lekas-lekas pulang dengan alasan hendak sembahyang tetapi orang belum pun melaungkan azan. Bila kau dapati rumahmu masih lengang tanpa orang, kau sedikit kecewa. Ketika kau hendak mengambil wudhuk, mulutmu rasa berair. Kau naik ke atas dahulu dan mencari di bawah bantal tidurmu. Tiada. Kau tercari-cari di celah-celah lipatan kain bajumu. Tiada. Kau selak tikar dalam bilikmu. Tiada. Kau mula berasa gelisah. Memang kebiasaannya kau akan melepak-lepak dahulu di rumah anakmu selepas makan dan membelek-belek cerana anakmu mencarinya. Tetapi kau pulang awal hari itu dengan harapan.
Kau keluar rumah ke seberang jalan tetapi tidak mampu pergi jauh. Sampai setakat wakaf kau minta tolong budak-budak yang menunggu bas membelinya, “Tolong belikan mak tembakau sebungkus.” Kau hulurkan seringgit dan baki empat puluh sen diberikan kepada budak itu sebagai upah. Kau pulang lega dengan songel tembakau terselit di celah mulut. Lepas sembahyang, kau duduk di muka pintu dan dengan memakai cermin mata yang dibeli anakmu yang tinggal jauh itu kau membaca al-Qur’an. Selepas menghabiskan dua helai matamu terasa berat. Angin lembut tengah hari memang mengulitkan ditambah pula dengan atap bata Singgora yang memang menyejukkan rumah. Semuanya menyedapkan tidur. Kau menutup sebelah daun pintu dan membiarkan sebelah lagi terbuka. Kau mengerekot di situ juga. Tidur siang.
Kau terjaga dari tidur siangmu bila azan asar berkumandang. Cucumu yang perempuan sudah pulang. Duduk di beranda menyanyi-nyanyi. Cucumu yang laki-laki belum nampak batang hidungnya lagi. Seusai sembahyang, kau melipat kain-kain yang diangkat dari jemuran. Sambil-sambil itu kau melihat-lihat cucumu yang duduk-duduk di beranda sedang menunggu. Kau juga menunggu. Kau mengintai ke hilir, kemudian ke hulu. Patut sudah ada sekarang. Kau mula runsing. Matahari sudah jatuh. Sudah mahu masuk ke kaki langit. Fikiran yang bukan-bukan sudah mula menyerang. Perut sudah mula serabut. Kau cuba menghilangkan runsing dan serabut perut itu. Kau pergi ke segenap penjuru rumah menyelak segala jendela yang ada.
Ketika kau menyelak jendela dapur, kau terdengar tapak kaki cucumu yang laki-laki berlari-lari dari depan rumah ke dapur menjerit-jerit,” Pak Cik Isa dah sampai! Pak Cik Isa dah sampai!” Apabila menoleh ke depan kau melihat cucumu yang perempuan sudah terlompat-lompat di atas beranda juga menjerit-jerit keriangan,” Mak Cik Nah sampai! Mak Cik Nah sampai!” Kau terdengar bunyi enjin kereta masuk ke dalam pagar rumahmu. Hon dibunyikan berkali-kali sebagaimana biasa mereka lakukan setiap kali tiba. Kau tersenyum lebar gembira bukan kepalang. Cucu-cucumu yang baru tiba dari jauh itu bersorak-sorai setelah keluar dari kereta. Kau yang bertambah girang ketawa terkekeh-kekeh melihat gelagat mereka. Mereka berlari-lari masuk ke dapur rumah dan terus memelukmu satu demi satu. Kemudian mereka terus ke atas berkinja-kinja menyambung sorak-sorai dengan sepupu-sepupu mereka. Kemudian anak dan menantumu masuk bersalam dan berpeluk cium. Bersama-sama mereka oleh-oleh dari kota dan kuih akok dari Salor yang dibeli dalam perjalanan yang memang kesukaanmu.
Alamatnya, seminggu jugalah kau tak akan ke rumah anakmu di belakang minum teh.
Pernah disiarkan di ulama ummah.

Tammat - 30 April 2008 , 1.30 pagi
* * *
Memperingati gemulah Sepiah binti Awang
1916-2002
Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmatinya
------Memperingati gemulah Sepiah binti Awang
1916-2002
Mudah-mudahan Allah mengampuni dan merahmatinya
Pernah disiarkan di ulama ummah.
0 comments:
Post a Comment