Sunday, August 31, 2014

Teluk Corinth


Teluk Corinth. Teluk sempit yang menjadi saksi kekalahan teruk armada Turki dalam peperangan Lepanto sampai tak bisa bangkit lagi sebab kalau cuma bahtera yang hilang boleh diganti tapi kalau serdadu yang hilang pengalamannya sukar dicari. Sekarang ada jambatan merentangi selain ada terusan menembusi segenting.

Dekat kedai makan nampak pokok Janda Kaya. Rupanya pokok Janda Kaya yang merah pucuknya ada kaitan dengan Krismas. Patutlah banyak tanam.

Anarki di Athina XXIX

Saturday, August 30, 2014

Bab-üs Saadet

Mengadap Sultan Setambul XVII

... Sultan bersemayam di atas takhta di bawah anjung. Di belakangnya terpacak panji-panji hijau berbingkai benang emas dengan kain putih tertampal di tengah termaktub Nasrun Min Allah. Di keliling baginda berhimpun wazir-wazir kecil. Segala bangsawan, sida-sida betara dan isi istana beratur berangkai sedang serdadu berderet di kiri kanan laman. Di kala itu, tiada siapa yang bercakap. Senyap tidak berkutik sampai kalau ada jarum terjatuh pun boleh didengar. Duta berlima masuk berjujuk membuntuti orang besar bertiga. Bila hampir benar dengan sultan Sheikhul Islam dan Agha berjalan pantas seraya berdiri di kiri dan kanan sultan. Wazir besar mengadap mengangkat menadah kedua tangan menunduk memberi sembah. Setelah itu semua yang hadir pun menurut Wazir Besar memberi sembah. Wazir besar mempersembahkan duta dan sultan membalas dengan mengangkat tangan. Sebentar kemudian sultan menganguk saja dan seorang sida pun keluar dengan lima persalinan indah-indah buat hadiah untuk duta-duta ...

Gate of Felicity ialah benar-benar pintu masuk ke kawasan peribadi sultan. Tak ada sapa boleh masuk kecuali dengan izin. Pak Menteri Besar pun sekali-sekala saja boleh. Pada Hari Raya, hari pertabalan dan hari menghantar orang pergi perang, sultan akan duduk di atas takhta sambil rakyat datang memberi penghormatan. Di bawah anjung, ada tempat untuk menegakkan bendera Nabi yang diserahkan kepada jeneral yang bakal turun berjihad.

Laqad qeela, telah dikatakan, di air pancut inilah tempat pedang dibasuh selepas algojo menjalankan hukuman pancung.

Adalet Kulesi

Plak batu sebagai harta rampasan perang dari Russia dengan Tower of Justice di belakang. Laman kedua ini menempatkan hospital, dapur, kem askar, kandang kuda dan harem. Di laman kedua ini, tak siapa pun dibenar bercakap. Menara Keadilan lambang sultan menolak segala kezaliman. Segala hamba rakyat yang memandang menara dari jauh akan berasa yakin dengan kebersamaan sultan dengan mereka.

Friday, August 29, 2014

Istana Ali Qapu

30 Tahun Revolusi Islami XLIII

Keburukan keluar jalan-jalan pada musim dingin ialah seperti yang dapat dilihat pada gambar di atas. Walaupun belanja mungkin murah disebabkan pelancong yang tidak ramai tetapi ketika bukan musim puncak inilah tempat-tempat menarik menjalankan kerja pemuliharaan. Penuh staging.

Dalam bahasa Parsi huruf qaf disebut dengan ghayn. Maka orang Iran memanggilnya Ali Ghapu. Inilah Istana Ali Qapu dan kuasa politik Shah berkisar di sini. Dalam bahasa Turki-Parsi nama Ali Qapu bermaksud 'Exalted Porte' dan ini bertujuan untuk mencelen musuh ketat mereka Osmaniyyah yang istanya terkenal sebagai 'Sublime Porte'.

Kena dengan namanya, asalnya dibina sebagai pintu gerbang antara taman istana dengan dataran tetapi lama-kelamaan ia berkembang melalui tujuh peringkat menjadi apa yang ada datang sekarang. Enam tingkat semuanya.

Istana ini diguna pakai sebagai tempat untuk Shah menerima tetamu bangsawan dan melayan duta-duta luar. Tingkat-tingkat bawahnya menjadi tempat tinggal para pengawal dan tahap keselamatan ditingkatkan dengan tangga yang menghubungkan setiap tingkat dibina sempit dan curam.


Di tingkat tiga dimuatkan anjung yang besar dan tinggi menjadi tempat untuk Shah menonton permainan polo dan lumba kuda di dataran. Di sini juga para wisata boleh memukul gambar berlatarbelakangkan Masjid Shah macam yang aku buat untuk Wamap ni. Perfect.

Tapi Wamap pukul gambar aku biar menara masjid jadi tanduk pulak. Siut.

Thursday, August 28, 2014

Salam ke atas Hussayn

30 Tahun Revolusi Islami XVI

Hasan agha solat subuh. Sungguh mengikut sunnah dengan air setadah tangan dia langsaikan wudhuk dari atas sampai bawah walaupun kakinya dicalit saja. Hebat! Hasan ahga solat subuh, jadi dia betul-betul mutadayyin. Di tempat sujudnya ada seketul batu karbala dan sejadah kenit yang ada pujian untuk Al-Hussayn ...

Salam ke atas Al-Hussayn,
Dan ke atas Ali anak Al-Hussayn,
Dan ke atas anak-anak Al-Hussayn yang lainnya,
Dan ke atas para sahabat Al-Hussayn,
Yang telah mengorbankan darah dan jiwa mereka untuk Al-Hussayn.

Wednesday, August 27, 2014

Satu Hari Di Hari Raya


(Sila menyanyi mengikut melodi nyanyian M. Nasir)

Satu hari di hari raya
Dua hari di hari raya
Tiga hari di hari raya
Empat hari di hari raya
Lima hari di hari raya

(terus terjun ke chorus)
Enam hari di hari raya
Tujuh hari di hari raya
Lapan hari di hari raya
Semilan hari~

Seploh hari di hari raya
Seblas hari di hari raya
Doblas hari di hari raya
Tiga belas hari~

Pat belas hari di hari raya
Lima belas hari~

Namblas hari di hari raya
Tujuh belas hari di hari raya
Lapan belas hari di hari raya
Semilan belas hari di hari raya
Doploh hari di hari raya

Doploh satu hari di hari raya
Dopluh dua hari di hari raya
Doploh tiga hari di hari raya
Doploh empat~

(buang chorus kedua)
Doploh lima hari di hari raya
Doploh enam hari~

Doploh tujuh hari di hari raya
Doploh lapan hari di hari raya
Doploh semilan hari di hari raya
Tiga puluh hari di hari raya

Tiga puloh hari di hari raya~
Tigo puloh hari di hari raya~
Aaaa~

-lirik oleh M. Basir-

Sunday, August 24, 2014

Tiga Tingkap


Di Pekan purba Aghurmi.

Gezirah Balah, Gezirah Malah XVIII

* * *

Salahkah saya, jahatkah saya, kalau mau menjadi baik kerana mata benda.

Kemudian sang rasul pun berkata:
"Setiap kerja buat itu dengan niat dan setiap orang ada niat masing-masing. Siapa-siapa yang hijrahnya untuk Allah dan RasulNya maka hijrahnya untuk Allah dan Rasulnya (itulah yang dia kan dapat). Siapa-siapa yang hijrahnya untuk dunia dan untungnya atau perempuan yang nak dinikahinya maka hijrahnya untuk benda-benda tersebut (itulah juga yang dia akan dapat)."

Saya mau solat hajat:
Tuhan, baikilah monitor saya...



Saturday, August 23, 2014

Paris, Kairo, Republik Arab Mesir


Kalau tak mampu ke Paris, lepaklah di Medan Talaat Harb dan nikmatilah pemandangan bangunan-bangunan yang persis Paris. Medan Talaat Harb ialah tempat yang paling anggun di Kaherah dan sering dijadikan latar untuk filem-filem dan klip-klip video penyanyi Mesir.

Walaupun Inggeris menjadi kuasa barat yang paling lama menduduki Mesir -42 tahun- ia tidak banyak memberi pengaruh kepada sosio-budaya negara ini. Perancis adalah kuasa barat yang pertama dan paling singkat menjajah Mesir -3 tahun. Lamun, seperti cinta pertama ia yang paling banyak meninggalkan kesan terhadap Mesir.

Cuba tengok pada binaan tingkap rumah anda, tingkap yang tinggi serupa pintu, bidai kayunya yang biasanya diwarnakan hijau, sistem selaknya. Kemudian lihat pula pada rekabentuk anjung rumah anda, bentuk pagar besinya, ukiran hiasan dan sentuhan akhirnya. Selepas itu lihat lagi pada struktur bangunan itu sendiri yang menyediakan ruang kosong di tengah-tengah sebagai laluan paip buang dan pengudaraan -tapi di Mesir lebih dijadikan tempat pembuangan sampah.

Anda boleh bandingkan senibina bangunan ini dengan bangunan yang terdapat di Paris jika anda menonton filem-filem seperti Taken, The Bourne Identity atau The Pink Panther.

Selain itu, Perancis ada juga meninggalkan kesan dalam dialek Arab Mesir seperti kata-kata pinjaman 'bantaloon' iaitu seluar dan 'abajura' iaitu lampu meja. Tidak lupa juga kesan yang ditinggalkan pada budaya pemakanan orang Mesir iaitu kesukaan mereka sekarang memakan keju yang berbagai.

Akhir sekali, kita ada Hopital Faransawy ...

Friday, August 22, 2014

Kepulangan Anakmu

Apalah raya bagi Mesir?
Raya bagi Mesir ialah ...

Malam raya gantung belon di masjid,
Belah awal lepas solat Eid,
Bagi coklat dan gula-gula kepada yang tua dan bagi belon kepada yang muda, ya budak-budak memang makan belon,
Kalau orang tak kasi belon beli saja,
Beli bunga untuk ziarah kubur,
Sekeluarga sewa lori untuk beraya,
Berpiknik di taman atau di mana saja yang berumput hijau,
Menjamu dan memakan rengga atau fiseekh,
Naik kereta kuda beramai-ramai,
Tunggang kuda, main basikal atau naik motorsikal mini,
Main senapang,
Pergi fun fair ...

... dan yang sama dengan kita ialah mereka semua tua dan muda berpakaian serba baru. Inilah budaya mereka dan bukannya kerja kita dengan berkata apalah ini atau berkata mereka purba dan sebagainya kerana sekurangnya mereka membuat yang betul dengan bercuti seminggu untuk Aidiladha sedang kita pula seminggu untuk Aidilfitri dan ketika itu kita pula berkata dah itu budaya kita ...

Mısır Çarşısı

Mengadap Sultan Setambul XXIX

Aneka jenis dedak ternakan yang kaya dengan vitamin.

Bunga hijau memang pelik.

Anekan jenis kacang, legum, kekeras serta bijian.

Bunga biru pun pelik juga.

Kulit kerangan beraneka yang tak tahu apa tujuan diniaga.

Tapi pokok-pokok macam ini takut berbunga di kedai saja.

Atau Bazar Mesir lebih terkenal dengan Bazar Rempah. Lekat dengan nama Bazar Mesir bukan sebab ramai saudagar dari Mesir tapi sebab rempah biasanya diimpot melalui Mesir. Kami buat cubaan nak masuk rupanya hari minggu memang tutup. Jadi merayau saja di kedai-kedai keliling yang menjual produk asas tani.

Tuesday, August 19, 2014

Dari Kartago ke Kairouan


Masa aku tulis ni, aku tengah berada pada paras 26000 kaki dari paras laut. Nak saja lonjak ke paras 41000 kaki dari paras laut tapi apakan daya, bahan bakar tak cukup kuasa ...

Tak ingat bila, mungkin sejak pertama kali keluar negeri, aku dah pasang mimpi-mimpi nak buat ekspidisi Trans-Maghreb. Dari hujung sini di Mesir sampai hujung sana ke Morocco.

Selain tu, aku suka pukul gambar senibina-senibina masjid dalam dunia Islam yang masing-masing kawasan ada pesen tersendiri. Stail Mesir ada, stail Syria sudah, stail Turki cukup, stail Parsi pun siap. Jadi untuk lengkapkan lagi koleksi, aku kena ada stail Andalus atau Maghreb.

Semua mula dengan Pak Ten yang ajak Asle. Aku cuma bersorak di tepi. Tapi Asle tolak sebab duit. Jadi tinggal aku saja. Ikut cita-cita asal memang tinggi. Mula dari Sepanyol, dari Gibraltar, turun dengan Feri ke Tanja, Morocco, kemudian singgah satu-satu Algeria, Tunisia, malah Libya, kemudian balik semula ke Mesir.

Pak Ten banyak serah kat aku untuk merancang, dia tinjau tiket. Tapi rencana yang bukan main lagi agungnya akhirnya pelan lama pelan mengecut. Mula-mula Spain, aku minat nak tengok pun Qartubah & Gharnatah. Tapi kira punya kira macam mahal, kenaikan semua. Akhirnya tolak Sepanyol.

Kemudian Morocco, aku paling teringin nak tengok universiti tertua di dunia, Universiti al-Karaouine dekat Fes. Tapi sebab nak masuk Morocco kena visa, mahal, khabarnya dalam RM90 ke USD100 begitulah. Maka buang Morocco.

Lepas tu Algeria, aku memang kaki cari UNESCO World Heritage Sites. Kat Algeria kurang menarik dan semuanya jauh-jauh satu dengan lain. Algeria pun hazaf.

Libya? Awal-awal lagi dah sisih, sebab susah sangat nak masuk dalam negeri dia.

Aku dah susun atur rancangan yang hampir lengkap. Lokasi lawatan, tempat tidur, kenaikan keliling, berapa belanja, tempoh ziarah. Tapi akhirnya Pak Ten mengundur diri sebab bini suruh balik awal jaga anak.

Hampa kecewa aku bertambah bila Arab Spring bermula. Sejak itu aku ikut perkembangan. Baca blog 'a Tunisian Girl' dan sebagainya. Bila revolusi mula mengecut, serik dan surut, aku mula merencana dan merancang semula.

Tapi, kalakian, kaum-kaum salafi mula menunjuk perasaan di Tunis. Aku tangguh. Kemudian Tunisia nak pilihanraya. Tangguh. Lepas itu raya haji. Tangguh lagi. Akhirnya Mesir sendiri yang ada demonstrasi sambil baling-baling batu. Tangguh juga.

Terguling-guling menggelupur aku nak pergi tapi menggeletar keraguan. Keraguan tentang masalah dalam negeri yang aku hadapi. Keraguan tentang penerusan kemandirian di sana seorang diri. Keraguan kalau-kalau ada kawan nak ikut sekali. Tak tidur malam aku, mundar-mandir sana-sini.

Dengan galakan beberapa kawan dengan kata-kata, "Pegi je Mal," dan, "Alah, redah je," aku pun nekad bukan naked. Beli saja tiker, apa nak jadi, jadi. Rupanya lepas beli tiket, tenang. Maka setelah setahun bermimpi, baharulah jadi.

Adapun wilayah Maghreb itu terbahagi kepada tiga iaitu Maghreb al-Aqsa atau The Far West yakni Morocco. Maghreb al-Awsat atau The Middle West yakni Algeria dan Maghreb al-Adna atau The Near West yakni Tunisia. Apa yang menarik tentang tiga ketul negara Maghreb ini ialah nama ketiga-tiga negara ini datang daripada nama ibu negara masing-masing. Seolah-olahnya menyambung kesinambungan sistem negara kota zaman dulu kala. Tunisia datang dari Tunis, Algeria datang dari Algiers dan Morocco datang dari Marrakech.

Ada dua sebab aku nak sangat ke Tunis. Pertama aku suka benar main game strategy Roman Total War. Dalam permainan tu ada satu puak bernama Carthage. Aku tak sangka, kota kaum yang pernah jadi pesaing Rom ni ada di Tunis! Kedua, macam yang disebutkan di atas, aku teringin nak tengok minbar dan menara masjid yang tertua dalam dunia Islam iaitu Masjid Sidi Okba ...

Monday, August 18, 2014

Ancient Agora of Athens


Dulu aku ingat agora ni pasar. Rupanya agora ialah tempat perkumpulan masyarakat. Sebab orang Yunani purba tak ada masjid, maka mereka membuat tempat khas yakni agora untuk berhimpun. Semua lelaki merdeka akan berkumpul di situ untuk mendengar kenyataan kerajaan, pembentangan peraturan baru atau menjalankan tugasan tentera.

Bila masa berlalu, timbul kegiatan perniagaan mengambil peluang perkumpulan masyarakat di situ. Lama lagi masa berlalu, masyarakat mula tinggal di situ. Banyak monumen di sini yang aku tak mampu nak ceritakan semuanya. Kerana keadaan masing-masing yang dah uzur dan tak nampak rupa. Padahal, aku lebih banyak kepada dah lupa sebab dah lama sangat tinggal. Dalam agora ni ada pasar, istana, kuil, mahkamah dan tempat cetak (tempa) duit.

Patung yang di atas tu ialah patung seekor gergasi (gigantes). Gergasi dalam mitos Yunani biasanya digambarkan mempunyai kaki serupa ular dan semuanya masih ada six-pack walaupun muka nampak dah tua berjanggut.

Ada sebuah filem menarik bertajuk Agora yang menceritakan tentang kehidupan seorang ahli falsafah wanita Yuanani purba bernama Hypatia. Kematian Hypatia dianggap sebagai pengakhiran era klasik. Dalam filem ini juga digambarkan sikap masyarakat Kristen awal yang berlatarbelakangkan Iskandariah, Mesir sekitar kurun keenam.

Anarki di Athina LVIII

Sunday, August 17, 2014

Hasil Tangkapan

Sedang melayan 'Lelaki Tua dan Laut' karya Ernest Hemingway.

Sekali itu, Al-Mu'taz Billah Ashraf menjemput aku untuk membarengi sebuah 'book club' di perpustakaan di taman bunga dekat kuliah. Ketika itu buku yang dibincangkan ialah 'The Alchemist' tulisan Paulo Coelho. Padahal buku itu sejak tahun satu tersengih-sengih di depan muka tapi tak lalu nak baca. Maklum sajalah novel Inggeris. Jemputan kedua dibuat ketika kelab mula membincangkan 'The Old Man and the Sea'.

Al-Mu'taz Billah Ashraf gemar membaca novel-novel anti-perang. Antara yang aku perasan ialah 'Jarhead'. Dia pernah pinjamkan aku 'All Quiet on the Western Front'. Juga berasa kecewa dengan novel 'Jungle of Hope' yang aku belikan. Maklumlah waktu itu belum terbit lagi 'The Prau with the Silent Soul'.

Friday, August 15, 2014

Batu Mejan

Tahukah kalian, batu nisan yang bulat menunjukkan kubur milik si mati lelaki manakala batu nisan yang leper atau pipih menunjukkan kubur si mati perempuan. Di kampung aku banyak betul kubur-kubur lama yang batu nisannya diambil dari batu sungai macam gambar di atas ini. Banyak yang dah nak terbenam ke tanah. Kalau belah pantai barat biasanya ditulis nama si mati dan tarikh lahir serta matinya. Di pantai timur tak ada. Kata orang, hafiz Quran tak elok membaca apa-apa yang ditulis pada nisan takut menjejaskan ingatan.

Kubur di kampung kami pelik. 'Mangsanya' tak pernah satu. Kalau ada satu kematian mesti akan ada satu lagi. Mungkin kebetulan tapi dah selalu sangat. Sampai kalau ada kematian, orang kampung akan ternanti-nanti, berdebar-debar berteka-teki, siapa yang kedua yang bakal menyusul.

Kalau tak silap aku di sebelah alik naik kubur ini ada tanah pusaka milik paksu aku tapi jarang dijenguk sebab hutan sangat. Lagipun kata orang banyak harimau akar kat situ. Kecik-kecik dulu orang banyak buat cerita kononnya kalau lalu di situ malam-malam boleh dengar harimau akar pepak tulang orang mati.

Nazi, sepupu aku, tengah baca Yasin dekat kubur bapaknya. Di sebelah kubur bapaknya itu kubur nenek kami dan di sebelah kubur nenek kami, dekat dengan tuan-tuan pembaca ialah kubur tok ayah kami. Masa ziarah kubur ni, bapak aku baru-baru lagi agaknya mengaji dengan Maulana Asri Yusuf. Agaknya lepas ni dah tak pergi lagi kot.

Redah Kaherah

Satu hari aku pergi beli megi buat sarapan tengah hari. Dalam jalan balik sambil tengok tingkat atas rumah buruk di Jalan en-Naggar yan nampak macam kota lama Sana'a di Yaman, aku teringat ramalan cuaca dalam stesen televisyen di tanah air. Mungkin sebab aku duduk di bawah remang sinar mentari aku jadi teringat. Dengan alunan musiknya kemudian satu persatu kotaraya dunia dia tunjukkan. London sekian sekian darjah, New York sekian sekian darjah, Buenos Aires sekian sekian darjah, Tokyo sekian sekian darjah, Kaherah sekian sekian darjah. Ya, Kaherah yang zaman itu aku terbayang macamanalah rupanya Kaherah. Tersepak bendul di hujung Jalan en-Naggar menyedarkan aku. Kadang-kadang bila kita dah terlalu biasa dengan sesuatu kita tak terasa nilainya. Eh, aku memang duduk di Kaherah. Inilah Kaherah dan rupanya macam gini. Dah enam tahun baru aku sedar balik. Aku duduk 6000 batu dari negeri sendiri di tempat orang yang orang lain bukan main susahnya nak sampai. Maka aku pun berkeputusan untuk redah kota Kaherah. Masa aku pun dah tak lama dah ...

Tuesday, August 12, 2014

Urut Tradisional Untuk Lelaki

Sama Tapi Tak Serupa

Urut Tradisional Untuk Lelaki
Dari Warisan Yang Tertua Dengan Izin Allah
Jangan Tunggu Hingga terlewat!
Tabib Haji Yahya Abdul Hadi

Urut Tradisional Untuk Lelaki
Dari Warisan Yang Tertua Dengan Izin Allah
Jangan Tunggu Hingga terlewat!
Tabib Haji Najib Abdul Razak
-------

"Aku Adam, engkau Hawa, aku hendak hak aku balik".



Monday, August 11, 2014

Empat Iwan

30 Tahun Revolusi Islami XXX

Suka aku pamerkan berkeping-keping gambar ketika kami sedang bertafannun dengan iwan yang empat. Sungguh pelik apabila tak seorang kita pun memukul gambar iwan utara seperti juga kita tidak memukul gambar kubah selatan dari bawah.

Ketahuilah oleh kalian, iwan ialah sebuah binaan kekubah serupa mihrab tetapi besar, berdinding pada tiga sisi tapi terbuka pada yang satu lagi, biasanya dijadikan sebagai pintu masuk ke dalam bangunan.

Asal-usul kata iwan ialah daripada kata ma'wa (مأوى) seperti yang termaktub di dalam Quran, Jannatul Ma'wa yang bermaksud tempat rehat atau tempat perlindungan. Adapun, binaan iwan berasal daripada senibina istana Empayar Sasan Parsi.

Pada tahun 1211 setelah berlaku kebakaran besar pada Jameh Masjid, ia telah diubahsuai daripada bentuk dewan hypostyle yang asal kepada sistem empat iwan. Selepas itu sistem ini menjadi
piawaian kepada setiap masjid era Turki Seljuk. Kalau kalian google iwan pun akan keluar gambar masjid ini.

Sehingga awal kurun ke 19 terdapat sebuah Iwan Agung di Kubu Salahuddin di Kairo yang menjadi tempat bersemayam sultan-sultan Mamluk sambil mengadili rakyat. Pun begitu ia telah dimusnahkan oleh Muhammad Ali Pasha.